Surah Yaasin - Kandungan & intipati

Ustaz Dr Udah Mohsin
Masjid al-Istiqamah Sg Merab

Latar belakang

Surah Yasin adalah merupakan salah satu surah yang banyak sekali dibaca oleh umat Islam di Malaysia. Ia dibaca di masjid-masjid dan surau-surau pada malam Jumaat atau sempena hari-hari tertentu. Tidak ketinggalan juga ia dibaca di rumah-rumah untuk kenduri arwah atau lainnya. Kepada mereka yang membaca al-Quran secara keseluruhan dari awal hingga akhir maka mereka juga akan membaca surah ini. Dengan ini surah ini merupakan salah satu surah yang  paling banyak dibaca.

yaasin 82

Permasalahan

Sekalipun surah ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tetapi masih ramai khususnya kepada orang awam yang tidak dapat memahami maksudnya dengan baik. Ini kemungkinan bahasanya yang payah untuk mereka memahaminya.

Kepentingan

Oleh kerana itu adalah penting dibuat satu tulisan yang menerangkan isi kandungan Surah Yasin ini supaya pembaca boleh mengetahui isi kandungan dengan mudah. Penulis juga menyertakan intipati surah ini untuk memudahkan mereka mengetahui isi kandungannya secara ringkas. Dengan ini mudah-mudahan kita dapat beramal dengan isi kandungan Surah Yasin ini yang mendorong kita dapat beramal dengan keseluruhan al-Quran.

Metodologi

Dalam menyatakan kandungan  Surah Yasin ini, penulis berusaha memahami maksud ayat dalam surah ini mengikut kemampuan penulis, di samping merujuk kepada kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Fakhrualrazi dan lain-lain, kemudian mengambil ringkasan isi kandungan ayat tersebut. Sekiranya terdapat beberapa pendapat dalam tafsiran ayat tersebut penulis mengambil pendapat yang pada pandangan penulis itu adalah yang lebih kuat atau lebih mudah difahami.  Penulis juga menyertakan sedikit penjelasan pada tempat yang perlu supaya mudah difahami. Manakala dalam intipati pula penulis cuba meringkaskan kandungannya mengikut yang mudah difahami pada pandangan penulis. Pada akhir kandungan disertakan nombor ayat untuk mudah dirujuk.

Rujukan

Di samping penulis menggunakan kefahaman penulis setakat yang mampu, penulis juga merujuk kepada Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Fakhrualrazi, Pempinan al-Rahman dan al-Quran dan Terjemahannya cetakan Kerajaan Saudi Arabia.

 

Kandungan Surah Yasin

Perkataan Yasin

Menurut jambur ulama iaitu kebanyakaan ulama, bahawa huru-huruf muqatta`ah yang terdapat pada awal surah seperti يس , ألم , ص , Ù† dan lain-lain, tiada yang mengetahui maksudnya yang sebenar kecuali Allah sahaja. Ini ialah kerana tiada nas yang sahih menjelaskan maksud huruf-huruf muqatta`ah tersebut. Dalam perkara yang seumpama ini tidak boleh hanya menggunakan akal sahaja untuk mengetahui maksudnya. Apa yang jelas dari huruf-huruf muqatta`ah ini ialah bahawa huruf-huruf muqatta`ah ini tidak pernah diguna pakai  dalam bahasa Arab sama ada dalam pertuturan atau persuratan mereka. Dengan ini huruf-huruf muqatta`ah yang terdapat pada awal surah itu adalah tanda bahawa al-Quran itu datangnya daripada Allah s.w.t., bukan daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Antara kandungan Surah Yasin

  • al-Quran adalah sebuah kitab yang penuh mengandungi hikmat kebaikan kerana ia diturunkan oleh Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya Nabi Muhammad adalah salah seorang rasul yang berada di jalan yang benar, diutus kepada kaum yang sedang lalai kerana  mereka, bapa dan datuk nenek mereka belum diberi peringatan. (2-6)
  • Kebanyakan mereka diazab kerana mereka benar-benar tidak mahu beriman. (7-10)
  • Orang yang mendapat manfa'at dari seruanmu ialah orang mukmin iaitu orang yang mengikut al-Quran  dan takut kepada Allah yang dia tidak melihat-Nya maka balasan baginya ialah mendapat keampunan dari Allah s.w.t. dan pahala yang besar dan indah.(11) 
  • Allah s.w.t. membangkitkan orang yang mati dan menulis segala yang mereka lakukan semasa hidup samada perkataan, perbuataan dan tujuan serta kesan-kesannya.(12)
  • Satu contoh telah diberikan untuk menjadi pengajaran, di mana sebuah kawasan/Qaryah yang telah diutuskan kepada penduduk-penduduknya beberapa orang rasul dan di sokong oleh salah seorang lelaki yang tinggal di hujung qaryah tersebut, tetapi mereka tetap tidak mahu beriman maka Allah binasakan semua penduduk Qaryah tersebut dengan hanya satu pekikan kuat, mereka semua  mati serta merta.(13-25,28, 29)
  • Setelah lelaki yang menyokong rasul-rasul tersebut mati, dia dimasukkan ke dalam syurga dan berkata: Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui keadaanku di mana Allah telah mengampuni aku dan menjadikan aku dari kalangan orang yang mendapat kemuliaan.(26-27)
  • Sungguh malang kepada manusia yang diutuskan rasul kepada mereka tetapi mereka memperolok-olokkan rasul tersebut. Mengapa mereka tidak melihat kepada orang-orang yang sebelum mereka yang telah dibinasakan oleh Allah mereka habis mati dan tidak boleh kembali ke dunia. (30-31)
  • Semua manusia/makhluk akan dihimpunkan di hadapan Allah s.w.t. (untuk perbicaraan/ hisab).(32)
  • Tanda-tanda keesaan, kekuasaan dan kebesaran Allah adalah amat banyak di antaranya: Allah yang menghidupkan bumi yang tandus, Allah yang mengeluarkan biji-bijian (seperti beras dan gandum) yang mereka makan.(33)
  • Allah menjadikan di atas muka bumi ini kebun-kebun, seperti kebun tamar dan anggur dan  apa yang mereka usahakan supaya mereka dapat makan buah-buahanya dan hasil usahanya. Allah juga telah memancarkan mata air dari bumi tersebut. (34-35)
  • Maha Suci Allah yang telah menjadikan sesuatu itu berpasangan, tumbuh-tumbuhan, manusia dan lain-lain yang mereka tidak mengatuhinya. (36)
  • Tanda yang lain yang menunjukkan kepada keesaan, kekuasaan dan kebesaran Allah ialah Allah menghilangkan siang dan menjadi malam maka mereka berada dalam gelap. (37)
  • Tanda yang lain juga ialah matahari dan bulan masing-masing menjalankan peranannya dengan tepat    mengikut yang telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. (38-40)
  • Tanda yang lain yang menunjukkan kepada keesaan, kebesaran dan kekuasan Allah ialah Allah membawa belayar keturunan mereka dalam bahtera yang penuh sarat, kalau Allah kehendaki Allah boleh tenggelamkan mereka dan tiada siapa yang boleh menolong dan menyelamatkan mereka tetapi Allah beri rahmat kepada mereka,  mereka selamat serta dapat berseronok-seronok dalam beberapa lama. (41, 43,44)
  • Allah juga telah menjadikan untuk mereka kenderaan lain yang seperti bahtera yang boleh mereka naikinya. (42)
  • Apabila dikatakan kepada mereka, jagalah diri kamu dari melakukan sebarang dosa, mudah-mudahan kamu dirahmati, (mereka tidak mengendahkannya).(45)
  • Setiap tanda/bukti yang datang dari Allah, mereka tetap tidak menerimanya. (46)
  • Orang-orang kafir tidak mahu memberi pertolongan kepada orang-orang Mukmin yang miskin/susah (47)
  • Orang kafir ingkar akan berlakunya Hari Kiamat (48)
  • Hari Kiamat akan berlaku dengan mengejut, dengan satu pekikan sahaja iaitu tiupan sangkala pertama mereka semua habis mati. Mereka tidak sempat berwasiat apa-apa pun dan tidak sempat kembali menemui keluarganyanya. (49-50)
  • Satu tiupan pada sangkakala iaitu tiupan kedua semua manusia bangkit dari kubur dan mereka dihadapkan di hadapan Allah untuk perbicaraan/hisab.(51- 53)
  • Perbicaraan pada Hari Kiamat adalah amat adil, tiada siapa pun yang dizalimi. Balasan mereka adalah mengikut apa yang mereka lakukan semasa di dunia.(54)
  • Penghuni syurga mereka sibuk dengan keseronokkan, mereka bersama-sama pasangan mereka berada di tempat yang teduh menikmati buah-buahan dan apa sahaja yang mereka kehandaki, semuanya akan diberikan kepada mereka. (55-57)
  • Mereka mendapat ucapan selamat sejahtera dari Tuhan mereka. (58)
  • Allah telah memberitahu kepada manusia supaya jangan sekali-kali menyembah syaitan kerana dia telah menyesatkan beberapa banyak jenerasi kamu, tetapi kamu hendakklah menyembah Allah kerana itulah jalan yang benar. (60-62)
  • Kepada orang kafir mereka dipisahkan daripada orang mukmin, lalu mereka dimasukkan kedalam neraka jahanam. Apa bila mereka hendak ingkar terhadap apa yang mereka lakukan semasa di dunia anggota-anggota mereka akan bercakap memperakui apa yang dibuat dan disaksikan oleh anggota-anggota lain. (59, 63-65)
  • Kalau Allah kehendaki di dunia ini Allah berkuasa membutakan mata sehingga mereka tidak nampak dan kalau Allah kehendaki Allah boleh tukar badan mereka di tempat mereka berada sehingga mereka tidak boleh mara ke hadapan atau undur ke belakang. (66-67)
  • Allah s.w.t memberitahu kepada manusia, sesiapa sahaja yang dipanjangkan umurnya dia akan balik semula kepada serba kekurangan. Mereka sepatutnya  berfikir. (68)
  • Allah s.w.t tidak mengajar syair kepada Rasulullah s.a.w. tetapi apa yang diajar oleh Allah kepadanya adalah wahyu supaya dia memberi peringatan kepada orang yang hidup, dan kepada orang yang ingkar balasannya adalah neraka jahanam. (69-70)
  • Allah s.w.t. seterusnya menyuruh orang kafir berfikir tidakkah Allah telah menjadikan untuk mereka binatang-binatang ternakan untuk kegunaan mereka, ada yang untuk tunggangan, ada yang untuk makanan dan ada yang untuk minum susu dan berbagai-bagai munafaat lagi yang sepatutnya mereka bersyukur. (71-73)
  • Mereka telah menyembah yang lain daripada Allah bertujuan kononnya tuhan-tuhan itu akan memberi pertolongan kepada mereka, sedangkan yang sebenarnya tuhan-tuhan itu tidak dapat menolong mereka dan tuhan-tuhan itu akan dihimpunkan bersama-sama mereka,( bagi menambahkan lagi duka cita dan kehinaan mereka). (74-75)
  • Allah melarang Rasulullah s.a.w. dari berdukacita disebabkan perkataan mereka kerana Allah adalah sentiasa mengetahui segala-galanya, sama ada yang mereka sembunyikan atau yang mereka nyatakan. (76)
  • Orang yang mengingkiri Hari Kebangkitan hendaklah berfikir bahawasanya Allah telah menjadikannya dari nutfah yang lemah maka mengapa pula dia sebagai penentang yang keras. (77)
  • Orang kafir membandingkan Allah itu seperti dirinya dia lupa akan kejadian dirinya lantas berkata: Siapakah yang menghidupkan tulang-tulang yang telah reput. (78)
  • Allah s.w.t. menyuruh Rasul-Nya menjawab: Yang menghidupkannya ialah yang menjadikan benda itu sebelum benda itu ada, iaitu Allah Yang Maha mengetahui setiap kejadian yang menjadikan untuk kamu api  dari pokok yang masih hijau. (79-80)
  • Tidakkah yang berkuasa menjadikan langit dan bumi berkuasa menghidupkan manusia yang telah mati? Bahkan, Dia adalah Maha pencipta dan Maha mengetahui.(81)
  • Sesungguhnya keadaan kekuasaan Allah itu apabila menghendaki sesuatu, Allah berkata, jadi, maka benda itu jadi.(82)
  • Maha Suci Allah yang menguasai dan memiliki segala sesuatu dan kepada-Nya kamu semua dikembalikan.(83)

Intipati Surah Yasin

Dalam Surah ini Allah s.w.t menyatakan kepada  manusia     bahawa Nabi Muhammad s.a.w   adalah     Rasul-Nya. Balasan kepada mereka yang beriman kepadanya adalah keampunan dan pahala yang besar dan indah/syurga, sebaliknya kepada mereka yang kufur kepadanya adalah neraka jahannam. Manusia hendaklah berfikir dengan melihat kekuasaan-kekuasaan Allah. Antaranya Allah telah membinasakan mereka yang kufur kepada para rasul sebelum mereka, Allah  telah menghidupkan bumi yang tandus dengan menumbuhkan tanam-tanaman yang menjadi makanan mereka, Allah yang telah menjadikan sesuatu itu berpasangan, manusia dan lain-lain. Allah yang telah menjadikan malam, siang, matahari, bulan, masing-masing dengan peranannya. Sepatutnya mereka hendaklah beriman.

Dalam Surah Yasin ini juga Allah menyatakan tentang kedatangan Hari Kiamat. Ia datang dengan mengejut dengan satu pekikan sahaja iaitu tiupan sangkala pertama manusia habis mati. Kemudian Allah menyatakan mengenai kebangktan manusia dari kubur iaitu dengan satu tiupan, iaitu tiupan sangkakala kedua semua manusia bangkit dari kubur dan mereka akan menghadap Allah untuk dihisab dengan adil segala yang mereka telah lakuan di dunia. Ahli syurga masuk syurga dan ahli neraka masuk neraka. Orang yang mengingkari hari kebangkitan bertanya siapakah yang menghidupkan tulang yang telah reput? Allah menyuruh Rasul-Nya menjawab,yang menghidupkannya ialah Yang menjadikannya sebelum benda itu ada, Yang Maha mengetahui setiap sesuatu, Yang menjadikan api dari pohon yang     hijau, Yang berkuasa menjadikan langit dan bumi.    Yang menguasai dan memiliki segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu semua akan dikembalikan. Iaitulah Allah Yang Maha pencipta lagi Maha mengetahui. Keadaan kekuasaan-Nya apa bila Dia menghendaki sesuatu itu jadi, maka jadilah ia.

 

sumber : masjidistiqamah_sgmerab, http://alistiqamahsgmerab.blogspot.com/2011/10/surah-yasin-kandungan-dan-intipati.html

Previous Post Next Post