Produk keluaran kilang Cadbury Malaysia halal

SHAH ALAM – Cadbury Confectionery Malaysia hari ini menegaskan bahawa semua produk coklat yang dibuat dan dijual di Malaysia adalah halal.


 
Pengarah Urusannya Sunil Sethi berkata, pengesahan itu diperolehi selepas keputusan ujian makmal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mendapati dua produk coklatnya itu bebas daripada DNA babi yang sebelum ini ditemui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
 
"Setelah beroperasi di Malaysia selama lebih 40 tahun, tiada yang lebih penting selain daripada kepercayaan pengguna kami.
 
“Kami akan menjadikan insiden malang itu sebagai peringatan dan pengajaran malah kami berterima kasih kepada pihak berkuasa yang telah meredakan keadaan serta kemarahan pengguna dengan keputusan ujian tersebut,” katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.
 
Pada 24 Mei lalu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya mengesahkan dua produk Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Kacang Hazel mengandungi DNA babi (porcine) dalam satu analisis kajian di makmalnya.
 
Bagaimanapun Jakim pada 26 Mei lalu pula bertindak menghantar sampel dua coklat terbabit yang diambil dari kilang Cadbury dan terus dihantar ke makmal di ibu pejabat Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk diuji kandungannya.
 
Makmal itu telah akreditasikan Jakim untuk menguji DNA babi dan keputusannya semalam mendapati dua produk coklat terbabit bebas daripada DNA babi dan halal dimakan umat Islam.
 
Mengulas lanjut, Sunil menegaskan kesemua produk keluaran kilang Cadbury di Malaysia adalah halal dan sentiasa mematuhi garis panduan halal Jakim.
 
Malah katanya pihak tidak pernah berkompromi tentang isu halal yang sangat sinonim dengan umat Islam di negara ini.
 
“Kita telah menubuhkan Jawatankuasa Halal Negeri dan ia telah disahkan pada 2004 untuk menunjukkan komitmen kami ke arah patuh halal dan kakitangan kami juga dilatih mengikut keperluan dalam pensijilan itu,” katanya lagi.

sumber Sinar Harian
Previous Post Next Post